Monday, December 8, 2025

Jangs in Crisis?


 
Sampai bila kita nak kena jerut ni?

Negeri Sembilan FC buat perangai lagi bila main away, kali ni tewas kepada Melaka 2-0. Sebelum bermulanya perlawanan ni, Melaka berada di kedudukan tercorot dalam liga. Atas kertas, sepatutnya NSFC boleh menang la kan perlawanan ni? Malangnya, bola sepak tidak dimainkan di atas kertas. Jelas NSFC nampak bermasalah dekat atas padang. Lebih malang, selepas perlawanan tamat, ada penonton NSFC menghina ahli keluarga head coach, Nidzam Jamil. Page Ultrajang dekat Facebook diorang ada upload video dari angle yang dekat, dan dekat situ aku boleh nampak coach duk ulang "mak aku" dekat penonton tersebut. Jadi kalau dah sentuh keluarga tu, tak salah untuk coach bengis terhadap dia.
 
Coach pun kata, dia tak ada masalah kalau orang nak marah dia pasal bola. Jadi kita dekat sini, mari sembang bola. Kepada brader yang hina ahli keluarga coach tu, be a gentleman dan minta maaf dekat coach secara peribadi. Kita marah pasal bola jadi kita stick kepada bola.
 
Jadi, apa masalahnya? Pemain tak bersungguh-sungguh? Jurulatih tak komited? Ada unsur sabotaj nak jatuhkan NSFC?
 
Korang ni, overthinking la. Jadahnya orang nak jatuhkan NSFC. Siapa kita sampai orang nak sabotaj? Pemain pun mustahil la tak berusaha kalau korang tengok betul-betul cara permainan diorang. Senang cerita, team lain dah reti adjust nak hadap gameplay NSFC.
 
Stadium pun nampak usang, siapa nak jatuhkan NSFC?

Pertama, satu benda aku perasan sejak lawan Penang hari tu, team-team bawahan ni, mereka akan ambil kesempatan terhadap defensive line NSFC dengan kelajuan penyerang diorang. Cara coach set up team NSFC ni, akan meninggalkan dua orang centreback je untuk bertahan. Ditambah dengan posisi diorang yang agak tinggi ni, pihak lawan hanya memerlukan through ball yang dimainkan belakang centrebacks NSFC untuk dikejar penyerang diorang dan mendapatkan peluang gol yang mudah. Lawan Penang hari tu pun nasib baik ada 2 gol diorang offside, kalau tidak lagi teruk team kita kena belasah petang tu.
 
Kedua, melihat pada komposisi pasukan NSFC ni, nampak team ni dibina untuk counter-attack sebenarnya. Cuba tengok balik. Selvan, Motika, Takumi, Luqman, Mio, semua ada kelajuan, semua boleh dribble bola dengan elok. Tengok dekat Alex, macam mana dia pass. Dia akan pass ke kawasan untuk polosit-polosit tu kejar untuk sambung serangan NSFC. Masalahnya...Alex sorang je boleh bagi bola macam tu. Pemain-pemain midfield yang lain tak ada yang boleh pass macam Alex. Malah, tak perlu nak kata pass macam Alex. Nak bawak bola naik atas pun macam takut-takut. Kalau team lawan berjaya tutup ruang, main parking bas, dah cepat mati serangan NSFC. Tengok Melaka hari tu main macam mana. Park the bus. Tak bagi ruang langsung wingers NSFC guna kelebihan kelajuan tu. Dan NSFC pun macam tak ada idea macam mana nak pecahkan Melaka punya low block.
 
Satu lagi aku nak sentuh, yang bagi aku jadi punca kita hilang 2 mata lawan Terengganu, adalah in-game management. Hujung game, aku tengok NSFC macam tak pasti nak bunuh game macam mana. Cari satu lagi gol? Pegang bola sampai wisel penamat? Kesudahannya, dua-dua tak dibuat, last-last Terengganu dapat gol penyamaan lewat dalam masa kecederaan. Sepatutnyalah, kalau dah masuk masa kecederaan tu nampak susah sangat nak dapat satu lagi gol, kau bunuh je la game dengan bawak bola tu, hold dekat corner flag lawan. Tak pun suruh la Azri baring lama sikit macam Syihan punya masterclass lawan Johor dulu ke, buat-buat injured dekat kawasan team lawan ke. Apa-apa je nak bazirkan masa sebab ref pun tambah 3 minit je masa tu. Sekali lagi, tengok Melaka buat apa hujung-hujung game hari tu. Tinggalkan satu, dua pemain je dekat tengah padang. Lain semua turun bertahan. Dapat bola, clear dekat yang tengah padang tu, bawak bola, hold dekat corner flag. Itu yang NSFC patut buat lawan Terengganu, tapi gagal nak laksanakan.
 
Dan, bagi aku, untuk game lawan Melaka hari tu (asyik pasal lawan Melaka je), aku tak rasa Alex diperam dekat bench. Ya betul, seeloknya dia patut ada dalam kesebelasan utama, tapi kena ingat Alex ni baru pulih dari kecederaan, dan aku boleh agak coach tak nak rush dia main balik. Cumanya, bila An Sang Su jadi kau punya playmaker, memang backfire la plan nak slow-slow masukkan balik Alex tu. Sorry to say but An Sang Su should be nowhere near the matchday squad. Just because he's an import player, doesn't mean we have to play him. Aku faham logik coach letak Alex dekat bench dulu, tapi macam aku cakap tadi, bola sepak bukan dimainkan atas kertas.
 
"Tadi kau kata player main bersungguh-sungguh? Mana ada. Macam hauk main ada la"
 
OK. Main hauk, tak bermakna kau tak bermain bersungguh-sungguh. Tengok team season lepas. Kena kitai kiri kanan. Tapi, aku tak boleh salahkan usaha diorang. Team season lepas, aku tengok jarang la tak bagi effort. Cumanya, siling kebolehan diorang semua takat tu je la. Memang berapa kerat je pun aku rasa boleh main level Liga Super. Entah-entah kalau main Liga M3 pun ada yang hanyut.
 
Sama la dengan pemain-pemain season ni. Semua aku tengok bagi effort. Kalau dia dah slow, bukan bermakna dia tak berusaha. Kau lenjan basikal kau macam mana pun, laju mana je kau boleh pergi. Dari segi komitmen pemain, aku tak rasa ada masalah.
 
Untuk penyokong NSFC la kan, aku rasa, kita kena tengok balik apa kita target daripada team kita season ni. Betul, kita banyak hilang mata bodoh-bodoh je. Dan aku pun marah jugak jadi macam tu. Benda boleh menang, kau pergi sedekah point kat team lawan. Tapi kena ingat, season lepas kita nombor 12 daripada 13 dalam liga. Selamat MFL terdesak nak cukupkan korum je, tu yang tak tersingkir ke Liga M3. Jadi aku rasa, kita target team kita dapat mid-table pun ok dah. Kita perlu bersabar sikit nak bentuk team kita elok-elok. Korang tengok je la senarai skuad kita, lepas daripada kesebelasan utama tu, berapa ramai je sebenarnya yang betul-betul capai top level Liga Super. Bagi masa sikit, bagi duit tu masuk elok-elok supaya dalam terdekat ni, pengurusan dapat perbaiki lagi team kita dari atas sampai bawah. Sabar jang, sabar milah, jangan la bongih bona macam kalah judi lopeh team kito kalah.
 
TAPI, pemain-pemain ni, jangan berani pulak nak ikut sabar tu. Tu nasihat untuk penyokong, bukan korang. Ada satu interview Kobe Bryant ni, dia pun kata, penyokong Los Angeles Lakers kena sabar dengan prestasi team diorang sebab ramai pemain muda, dan diorang belum betul-betul matang lagi. Tapi lepas tu dia sound pemain-pemain muda tu. Diorang sendiri tak boleh bersabar. Diorang kena hari demi hari tu ada peningkatan. Tak boleh nak rilek-rilek, santai-santai nak capai target. Setiap hari nak kena push untuk jadi lagi baik. Jadi, penyokong diharap bersabar, tapi pemain-pemain, esok kena lagi baik daripada hari ni. Jangan pernah berpuas hati. Klik sini untuk baca interview tu.
 
Coach, ada masa lagi ni nak perbaiki dari segi taktikal ni. Kena fokus pada defensive positioning, cari plan alternatif bila team lawan main low block, dan atasi kenaifan bila tengah lead tipis tu. Pastikan pemain-pemain semua boleh percaya pada semua rakan sepasukan, jangan bagi ada yang ikut kepala sendiri bila atas padang. Suruh diorang pass lagi bola tu, bukan setakat dribble ke jalan mati. Kalau ada team yang betul-betul buat analisa permainan NSFC, gunakan diorang sebaik habis. Review balik perlawanan-perlawanan sebelum ni. 2 minggu ni, tahan je la pemain-pemain ni suruh diorang buat training selagi mana tak melanggar akta buruh dekat Malaysia ni. Asalkan jangan tetiba buat kerja gila main back 3 macam Amorim sudah. Hari tu dah kena 4-0 dengan Selangor guna taktik tu. Jauhilah back 3. Cukuplah aku tengok satu je team aku main sistem bangang tu.
 
"Negeri Sembilan must suffer in order to survive relegation" - Amorim, probably